TAMBUNAN – Seorang wanita ditemui rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Kampung Tikolod tengah malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Desmond Micky @ Dominic berkata, mayat Norhabibah Awang, 30, ditemukan anggota bomba dibahagian ruang tamu rumahnya manakala sembilan lagi ahli keluarga lain sempat keluar menyelamatkan diri.
“Kita menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.25 tengah malam.
“Sembilan anggota dikerah ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 20 kilometer dari BBP Tambunan.
“Sejurus tiba, kita dapati kebakaran melibatkan sebuah rumah yang sudah terbakar 90 peratus.
“Bagaimanapun, operasi memadamkan segera dilakukan dengan menggunakan tangki jentera dan pili bomba berhampiran,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Desmond memaklumkan terdapat 10 penghuni di dalam rumah berkenaan dan seorang wanita dipercayai terperangkap sebelum mayatnya ditemui rentung di bahagian ruang tamu rumah terbabit.
Desmond berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. -KOSMO! ONLINE