Saudara Pengarang,
Saya telah mendiami sebuah rumah teres di Taman Alam Indah di Seksyen 33, Shah Alam, Selangor sejak lima tahun lalu.
Perkara yang paling menyakitkan hati tinggal di situ adalah capaian internet dan talian telefon bimbit yang sangat lemah.
Walaupun menggunakan talian telco gergasi negara iaitu Unifi, Maxis dan Celcom, namun capaian di situ sangat menyedihkan.
Kawasan Seksyen 33 bukanlah ‘hulu banat’ sebaliknya masih dalam pekan Shah Alam yang gah iaitu ibu kota Selangor.
Sangat mengganggu urusan harian apabila perlu menjawab panggilan telefon di luar rumah setiap kali tidak kira malam atau siang.
Jika menerima satu-satu panggilan sudah pasti perbualan itu terganggu dan akan tersekat-sekat serta tidak tahu apa yang dibualkan.
Capaian lemah itu telah berlaku sebelum banjir besar akhir tahun lalu dan bertambah teruk selepas banjir.
Ketika Perintah Kawalan Pergerakan tahun lalu, ramai penduduk terpaksa bekerja dari rumah, ia sangat menyakitkan hati apabila sukar dengan internet lemah.
Tolonglah telco gergasi negara selesaikan masalah ini dengan kadar segera, penduduk Seksyen 33 sangat perlukan internet yang lancar dan laju memandangkan ramai golongan pendidik dan profesional tinggal di kawasan berkenaan.
IBU SAKIT HATI
Seksyen 33, Shah Alam