JUARA Piala Sumbangsih, Pasukan Hoki Terengganu (THT) bimbang dengan ancaman dua flicker Maybank, Muhammad Razie Rahim dan Muhammad Najmi Farizal Jazlan menjelang aksi Liga Hoki Malaysia (MHL) hari ini.
Ketua jurulatih THT, Roslan Jamaluddin mengakui dua pemain lawan itu mampu mengundang bahaya jika Maybank diberikan banyak pukulan sudut penalti pada aksi di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Lebih membimbangkan THT apabila Najmi berjaya meledak hatrik ketika membelasah Nurinsafi Sporting 8-0 sebelum giliran Razie pula menjaringkan lima gol sewaktu meratah skuad pembangunan negara kelmarin.
“Maybank ada salah seorang flicker terbaik di Malaysia (Razie) dan mereka juga mempunyai Najmi di bahagian itu. Banyak gol dijaringkan Maybank melalui pukulan sudut penalti setakat ini.
“Kami perlu ambil serius perkara ini, lagi-lagi apabila bakal bertemu dua pakar pukulan sudut penalti Maybank selepas ini.
“Kalau kami nak menang liga, kami tidak boleh tercicir mata dengan menewaskan pencabar-pencabar utama seperti Maybank dan TNB (Tenaga Nasional Berhad),” kata Roslan ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Maybank mendahului carta MHL 2022 dengan kelebihan perbezaan jumlah gol yang besar ke atas pasukan tempat kedua, UiTM HA dan THT di tempat ketiga selepas dua perlawanan setakat ini.
vSebagai rekod, THT berjaya mencatat dua kemenangan selepas menewaskan TNB 3-2 sewaktu aksi Piala Sumbangsih sebelum menundukkan TNB Thunderbolts dengan keputusan sama kelmarin.