IMPIAN pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohd. Harrif Saleh untuk mencatat keputusan terbaik di Turki tercapai apabila muncul selaku naib juara pada Grand Prix Justiniano kelmarin.
Pada saingan tersebut, Harrif mempamerkan kayuhan bertenaga sepanjang 155.3 kilometer (km), namun henjutan 300 meter terakhir memastikan pelumba Kuala Terengganu itu berjaya menaiki podium tempat kedua.
Harrif mengakui kejayaan itu berpunca daripada sokongan 100 peratus rakan-rakan sepasukan yang membantu mencapai kejayaan di Turki selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan 3 jam 19 minit.
Tempat pertama dimenangi pelumba dari Belarus, Karaliok Yauheni (Minsk Cycling Club), manakala pelumba dari Belanda, Bloem Joun (Abloc CT) tempat ketiga.
“Syukur Alhamdulilah hari ini saya dapat menamatkan saingan di tempat kedua. Rakan-rakan pasukan banyak membantu saya untuk membawa saya ke depan.
“Namun, pada 300 meter terakhir sebelum garisan penamat, saya sedikit keletihan, namun saya dapat mengekalkan kayuhan untuk mengakhiri saingan tempat kedua.
“Boleh dikatakan, kemenangan ini sebagai sesi pemanas badan buat saya, sekali gus dapat tingkatkan prestasi sejurus pulih daripada jangkitan Covid-19 tempoh hari.
“Apa pun, kemenangan ini pasti dapat memberi motivasi kepada pasukan dan saya akan bekerja keras untuk melakukan yang terbaik pada perlumbaan seterusnya,” katanya sejurus perlumbaan.
Empat lagi pelumba TSG, Wan Abdul Rahman Hamdan menamatkan perlumbaan di tempat ke 16, Irwandie Lakasek (82), Nur Amirul Fakhruddin Mazuki (134) dan Mohd Zamri Saleh di tangga (163).