PETALING JAYA – Penyanyi yang kini menetap di Bali, Indonesia, Nourul Depp terpaksa berpisah buat sementara waktu dengan suami dan anak-anaknya untuk menjalani kuarantin kendiri selepas dirinya positif Covid-19.
Ujar pemilik nama lengkap Noorul Huda Abdul Wahab, 44, itu, suaminya, Eric yang juga dijangkiti wabak tersebut pada minggu lalu bagaimanapun telah sembuh (negatif).
“Cerita dia saya pula dipisahkan (kuarantin). Eric dah okay (negatif), saya pula positif. Gejala tidak teruk, cuma demam sikit,” ujarnya menerusi satu hantaran dalam Instagram.
Ujar pelantun Kerana Terluka itu, dia bersyukur kerana tiga orang anaknya tidak dijangkiti Covid-19.
“Alhamdulillah anak-anak negatif. Cuma saya demam sedikit. Nak kena jaga-jaga (kuarantin). Tidak ada apa yang perlu dibimbangkan. Saya Okay sahaja,” katanya.
Dalam hantaran itu juga, Nourul memaklumkan sudah 11 tahun dirinya tidak dijangkiti demam selepas kali terakhir tidak sihat pada tahun 2012.
“Memang saya letih. Nak uruskan anak-anak minggu lalu (gara-gara suami positif). Saya sudah 11 tahun tidak demam. Kisah benar, kali terakhir demam tahun 2012.
“Demam yang saya rasa sekarang sama seperti keadaan yang saya alami 24 tahun lalu (tahun 1998). Sampai kena tahan wad di Hospital Pantai. Doktor cucuk ubat antibiotic Cyprobay. Mahal!” kongsinya.
Pada masa sama, Nourul turut mengucapkan terima kasih kepada peminat yang tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan dirinya dan juga keluarga selepas mengambil keputusan untuk berhijrah ke Bali pada tahun lalu.
“Terima kasih untuk mereka yang mendoakan. Kepada sesiapa yang positif Covid-19, bertabahlah. Kita dipilih untuk menjadi lebih kuat,” katanya.
Sekadar info, Nourul bersama suami serta tiga anaknya iaitu Zachary, 9; Raphael, 7; dan Isabella, 3. berhijrah ke pulau peranginan popular itu sejak September tahun lalu. – KOSMO! ONLINE