Oleh LIYANA RAMLI
IPOH – Sekumpulan jemaah yang sedang menunaikan solat Asar terkejut mendengar bunyi dentuman diiringi guruh dalam kejadian ribut di Surau Diri Jumaat Al-Ansar dekat Bandar Seri Botani semalam.
Saksi kejadian, Semsudin Abu Baker, 71, berkata, mereka tetap meneruskan solat ketika mendengar bunyi dentuman itu.
“Kejadian berlaku pukul 4.47 petang. Ketika itu rakaat kedua semua jemaah dengar bunyi dentuman kuat. Sebaik selesai solat kami bergegas keluar dan lihat menara di belakang surau tumbang.
“Kami meninjau tempat di mana bunyi dentuman itu kedengaran dan melihat sebuah menara telekomunikasi tumbang,” katanya,
Katanya, menara stesen pemancar rangkaian telekomunikasi setinggi 30 meter itu tumbang sehingga menghempap kabin yang terletak di belakang surau.
“Syukurlah kabin yang digunakan sebagai penginapan siak itu tidak berpenghuni sewaktu kejadian berlaku,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Sementara itu, pengerusi surau, Mohd. Fadzli Ahmad berkata, ketika kejadian, dia tiada di surau dan hanya dimaklumkan oleh seorang ahli jawatankuasa.
Menurutnya, kerugian setakat ini dianggarkan berjumlah RM20,000 melibatkan kerosakan kabin berkenaan.
“Kabin tersebut sebelum ini digunakan sebagai surau sementara pada tahun 2012 dan selepas dinaik taraf kepada Surau Diri Jumaat, kabin itu didiami siak yang bertugas,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed berkata, pemilik menara itu, Prosontech Sdn. Bhd. (Prosontech) akan menguruskan ganti rugi kerosakan kepada pihak surau.
“Kita telah minta pemilik menara telekomunikasi ini membuat laporan penuh dari seri teknikal berhubung kejadian itu,” katanya.
Khairul Shahril juga berkata, Prosontech akan menggantikan struktur runtuhan segera mengikut spesifikasi yang dijangka siap dalam tempoh tiga bulan. – KOSMO! ONLINE