PETALING JAYA – Syarikat penerbangan tambang rendah jarak sederhana, AirAsia X (AAX) mengumumkan terbitan hak satu untuk satu dan terbitan khas untuk mengumpul sejumlah RM166 juta.
Sebelum ini, AAX telah mendapat kelulusan pemegang saham untuk terbitan hak lebih besar bagi mengumpul sehingga RM300 juta dan terbitan khas RM200 juta sebagai sebahagian daripada skim penstrukturan semulanya.
Menjelaskan pengurangan dana yang akan dikumpul, Ketua Pegawai Kewangan AAX, Andrew Littledale berkata, pada awal tahun 2021 pihaknya mempunyai dana tunai sebanyak RM95 juta, manakala purata wang tunai yang digunakan dalam 14 bulan terakhir adalah kira-kira RM3 juta sebulan.
“Kami bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dalam beberapa tahun akan datang walaupun tanpa pembukaan semula sempadan antarabangsa, yang mana tidak mungkin akan berlaku.
“Pengumpulan dana yang lebih besar kini bukan sahaja tidak diperlukan, malah tidak sesuai terutamanya buat pemegang saham runcit sedia ada yang mungkin tidak dapat membiayai terbitan hak yang lebih besar pada masa yang sukar ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AAX, Benyamin Ismail berkata, mereka hanya menerbangkan tiga pesawat pada suku yang berakhir pada 31 Disember, seterusnya mengecilkan kerugian operasi kami secara mendadak kepada RM12 juta.
“Kami juga telah meningkatkan perniagaan kargo selepas kejayaan penstrukturan semula yang telah diundi oleh para pemiutang pada bulan November tahun lepas.
“Syarikat menjangka bakal mempunyai tujuh buah pesawat yang akan beroperasi sepenuhnya menjelang akhir suku ini dan semua 11 pesawat berbadan lebar jenis A330 akan mula beroperasi menjelang akhir bulan Oktober 2022.
“Perbincangan juga sedang diadakan untuk AAX menyewa sekurang-kurangnya empat buah pesawat lagi sebagai persediaan untuk penyambungan semula penerbangan penumpang sepenuhnya apabila sempadan dibuka dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 15 buah pesawat A330,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE