LONDON – Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel menggesa barisan pemainnya supaya bersedia menjelang aksi pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara (UCL) menentang Lille di Stamford Bridge awal pagi esok.
The Blues dijangka berdepan tekanan tinggi apabila turun sebagai juara bertahan selain berada dalam situasi tidak menentu selepas sekadar menang 1-0 ke atas Crystal Palace pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) Sabtu lalu.
Bagaimanapun, Tuchel percaya pemain-pemainnya tahu apa yang perlu dilakukan pada perlawanan itu nanti apabila semua pihak menjadikan Chelsea sebagai pasukan pilihan.
“Kami tidak boleh terlalu fikir mengenai status sebagai pasukan pilihan biarpun ramai orang melabelkan kita seperti itu. Semua pemain perlu terima situasi semasa yang dihadapi ketika ini.
“Saya faham kami berdepan detik yang cukup penting dan sukar sekarang kerana jadual perlawanan padat. Bagaimanapun,
itulah hakikat yang perlu diterima oleh semua pemain,” katanya.
Pada masa sama, pengendali dari Jerman itu tetap menaruh sepenuh kepercayaan kepada barisan pemainnya kerana Chelsea sentiasa beraksi cemerlang dalam perlawanan penting seperti itu.
“Kami perlu realistik dan tidak boleh meletakkan harapan terlalu tinggi. Walaupun begitu, saya tetap yakin kami akan tampilkan aksi terbaik, lebih-lebih lagi dalam perlawanan penting seperti Liga Juara-Juara,” ujar Tuchel. – AGENSI