fbpx

Tersilap buang lampin rupanya barang kemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Yusuf menunjukkan bungkusan yang berisi barang kemas milik kakaknya kelmarin.

SEBERANG PERAI – Seorang anggota polis wanita mengakui dirinya secara tidak se­ngaja membuang barangan kemas miliknya kerana sibuk mengemas rumah dalam masa yang sama menguruskan anak tunggal lela­kinya yang berusia empat bulan.

Rohaya Ismail, 31, berkata kejadian berlaku awal pagi kelmarin di kediamannya di Kuarters Balai Polis Telok Ayer Tawar, Butterworth di sini di luar jangkaannya.

“Ketika saya sedang kemas rumah, saya juga pegang beg kecil berisi empat bentuk cincin dan seutas gelang tangan, ketika itu anak saya, Muhammad Wafi Aidin Muhammad Rafiuddin tiba-tiba menangis.

“Kemudian dalam kelam kabut, saya terus kumpul lampin dan sampah-sampah lain termasuk beg yang berisi barang kemas itu ke dalam tong sampah,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Lima bentuk cincin dan seutas gelang yang dijumpai semula.

Isteri kepada pemain bola sepak Penang FC, Muhammad Rafiuddin Roddin itu berkata, selepas sedar beg tersebut sudah dibuang, dia terus meminta abangnya, Mohd. Yusuf Ismail, 30-an yang tinggal bersama dengannya, untuk cari lori sampah Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dengan segera.

Berita berkaitan: Wira Oren bantu cari dompet berisi barang kemas dalam timbunan sampah

“Masa tu abang saya kejar lori sampah yang kebetulan masih mengutip sampah di sekitar Telok Ayer Tawar lalu meminta pertolongan pekerja MBSP untuk mencari barangan kemas yang saya anggap ada nilai sentimental yang tinggi sebab beli masa zaman anak dara lagi.

“Masa tu saya fikir nak dapat balik barang kemas itu tipis dan reda jika tidak dijumpai,” katanya yang bertugas di Balai Polis Telok Ayer Tawar di Butterworth.

Setelah berbincang dan me­lalui beberapa prosedur yang ditetapkan oleh pihak MBSP, akhirnya mereka bersetuju untuk mencari barangan kemas tersebut bermula pukul 9 pagi di Depo Operasi Pembersihan Tasek Gelugor di sini.

“Akhirnya barangan kemas berjaya ditemui kira-kira 1 petang. Syukur sangat sebab ada insan yang begitu amanah dan bertanggungjawab dalam pekerjaan.

“Saya harap agar MBSP dapat memberi anugerah kepada 10 pekerja yang bertungkus lumus mencari barang kemas tanpa mengharapkan apa-apa imbuhan,” katanya yang tetap memberi saguhati berbentuk wang kepada ke­semua pekerja terlibat meskipun ditolak.

Terdahulu, Kosmo! Online melapor­kan seorang wanita di Tasek Gelugor di sini yang terbuang barang kemas miliknya ke dalam tong sampah sebelum diangkut lori sampah menarik nafas lega apabila berjaya ditemui semula kelmarin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI