SEREMBAN – Seorang ibu tunggal yang baharu kehilangan pekerjaan terpaksa melalui kehidupan getir untuk membesarkan lima anaknya sekalipun mereka pernah terputus bekalan makanan sebelum ini.
L. Kalaivani, 37, sebelum ini menyara keluarganya dengan bekerja sebagai pengawal keselamatan, namun kontrak perkhidmatannya telah ditamatkan pada bulan Disember 2021.
Kalaivani berkata, sepanjang tempoh pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu, kehidupannya cukup sengsara apabila dia tidak dapat keluar bekerja sehingga menyebabkan bayaran sewa rumah sebanyak RM400 tertunggak hampir 20 bulan.
“Hidup memang susah sebab selalu tiada makanan, tetapi ada juga jiran yang bantu bagi beras untuk saya masak bubur atau sup. Apa yang penting, anak-anak tidak kelaparan.
“Bekalan eletrik di rumah juga pernah dipotong menyebabkan mereka sekeluarga bergelap selama tiga bulan.
“Mujur ada insan yang bantu bayarkan bil tertunggak,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Jalan Han Hui Foong di sini kelmarin.
Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan Presiden Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (Perkasih N9), Norfadilah Mansor yang menyampaikan sumbangan barang makanan.
Walaupun berdepan ujian, Kalaivani tidak pernah patah semangat, sebaliknya tetap keluar rumah dengan berjalan kaki untuk mencari kerja demi masa depan anak-anak.
“Saya perlu kerja untuk teruskan hidup kerana lima orang anak masih bersekolah, emak yang menghidap penyakit kencing dan darah tingggi juga tinggal bersama.
“Sebelum ini, saya pernah terlibat dalam kemalangan apabila basikal yang saya naiki dilanggar sebuah kereta menyebabkan kaki kanan saya tidak kuat seperti dahulu,” katanya yang ditinggalkan suami sejak dua tahun lalu.
Kalaivani mempunyai lima orang anak iaitu V. Saravanam, 16; V. Saraswathy, 15; V. Kumaresan, 12; V. Durgavani, 11, dan V. Logeswari, 10.
“Anak-anak sudah lebih seminggu tidak ke sekolah kerana tunggakan bayaran van masih belum dijelaskan.
“Hari-hari saya menangis seorang diri tapi saya kena kuat, walau apa pun berlaku, anak-anak mesti ke sekolah,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi keluarga ini di talian 011-26295328.