ALOR SETAR – Kesemua 11 daerah di negeri ini kini diklasifikasikan sebagai zon merah Covid-19 dengan sebanyak 29,372 kes aktif dicatatkan di negeri ini sehingga semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, penularan kes pada ketika ini bersifat sporadik dan tidak lagi bergantung kepada kluster.
Katanya, setakat ini hanya beberapa mukim saja yang berada dalam zon jingga dan kuning dengan kebanyakan kawasan kini sudah diklasifikasikan sebagai merah.
“Kebanyakan kes dikesan melalui saringan kendiri yang dilakukan mereka yang bergejala serta kontak rapat.
“Dulu kita ada kluster pendidikan, umrah, kilang dan sebagainya tetapi kini kebanyakan kes tersebar secara sporadik,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE