fbpx

IPD Gua Musang wujud tabung makanan bantu Orang Asli berkurung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shafien (tiga dari kanan) menerima sumbangan barangan makanan daripada rakan korporat dan badan bukan kerajaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang hari ini. FOTO AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang mengambil inisiatif mewujudkan tabung makanan bagi membantu masyarakat Orang Asli di tiga buah pos penempatan yang masih terjejas dengan ancaman harimau belang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, sejak hampir dua bulan diperkenalkan, lebih 2,000 bekalan bungkusan makanan asas telah berjaya dikumpul dan sebahagiannya telah di salurkan kepada penduduk Orang Asli di Pos Bihai, Pos Balar dan Pos Belatim.

Katanya, bekalan makanan asas itu disumbangkan oleh 10 syarikat termasuk badan bukan kerajaan (NGO) tempatan.

“Sejak lebih dua bulan lalu, Orang Asli di pos terlibat masih tidak boleh keluar dari kampung mereka secara bersendirian untuk mencari pendapatan seperti biasa.

“Saya percaya sumbangan ini akan memberi kekuatan dan semangat kepada Orang Asli untuk meneruskan kehidupan seharian. Pihak agensi kerajaan seperti polis, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli juga masih sedang berusaha menangani masalah harimau di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan tabung makanan di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang di sini hari ini.

Sejak lebih dua bulan lalu, penduduk Orang Asli di tiga pos itu masih diselubungi ketakutan kerana bimbang diserang pak belang yang dikesan masih berlegar di kawasan sekitar.

Keadaan itu membimbangkan mereka apabila seorang Ielaki Orang Asli, Anek Along, 59 tahun ditemui maut selepas dipercayai dibaham seekor harimau belang di Kampung Sau, Pos Bihai pada 7 Januari lalu.

Kejadian itu berlaku ketika sambutan perayaan menuai padi dan menangkap ikan sungai masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di kawasan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI