fbpx

Tindakan anggota polis undang pujian ramai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar yang memaparkan tindakan seorang anggota polis menutup tumpahan minyak dengan tanah bagi mengelakkan pengguna jalan raya lain terbabit kemalangan. - FOTO IHSAN JSPT KL

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang anggota polis berpangkat Sub Inspektor menutup tumpahan minyak akibat kemalangan yang berlaku di Lebuh Raya Pantai Baru (NPE) berdekatan bangunan Angkasapuri mendapat pujian orang ramai.

Beliau ketika dihubungi Kosmo! berkata, tindakannya itu bertujuan mengelakkan pengguna jalan raya lain terdedah dengan bahaya berikutan tumpahan minyak tersebut.

“Kejadian berlaku pada Jumaat lalu kira-kira pukul 9 pagi, saya telah diarahkan untuk ke kawasan tersebut kerana terdapat kemalangan yang berlaku membabitkan tiga buah kenderaan.

“Kemalangan terbabit berlaku kerana terdapat seekor ular sawa yang melintas menyebabkan seorang pemandu wanita terkejut dan brek secara mengejut. Ia menyebabkan dua buah kenderaan dibelakang kenderaan wanita terbabit berlanggar,” katanya di sini hari ini.

Tambah anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur itu, akibat kemalangan terbabit, minyak enjin dari salah sebuah kenderaan yang terbabit kemalangan tersebut telah tertumpah di atas jalan raya.

“Saya bimbang sekiranya pengguna jalan raya lain seperti penunggang motosikal terbabit kemalangan. Jadi, saya mencari alternatif lain dengan menabur tanah di kawasan berminyak tersebut.

“Saya juga ingin memaklumkan, saya menggunakan tanah disebabkan bantuan dari petugas lebuh raya lambat tiba disebabkan kesesakan yang berlaku sejauh kira-kira 10 kilometer akibat kemalangan tersebut.

“Walaupun ia hanya bersifat sementara namun saya berharap tiada pengguna lain yang tergelincir akibat tumpahan minyak tersebut,” kata anggota polis yang telah berkhidmat kira-kira 35 tahun dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 32 saat di media sosial yang memaparkan keprihatinan Azman Shah Ishak, 57, yang menutup tumpahan minyak dengan menabur tanah di kawasan tersebut.

Video tersebut turut menerima pujian orang ramai yang berterima kasih dan menghargai jasa Azman Shah bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

“Sungguh mulia hati anggota polis trafik ini demi menjaga keselamatan pengguna jalan raya. Semoga segala amal ibadah dan kerja tuan mendapat keberkatan,” kata @Hatimin TtR.

“Tahniah dan terbaik, semoga dengan tindakan tuan ini dapat balasan yang baik-baik di akhirat kelak,” ujar Manbye. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI