IPOH – Seorang lelaki dipercayai suspek utama kes curi peralatan pembinaan bernilai RM800,000 dari sebuah gudang di Bercham Selasa lalu, berjaya diberkas kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Baru Tambun pada pukul 8 malam.
Katanya, serbuan yang diketuai Ketua Polis Balai Tambun itu dilakukan hasil maklumat awam.
“Kita memperoleh perintah reman ke atas suspek selama empat hari bermula semalam hingga Rabu ini untuk membantu siasatan.
“Pada masa sama, kita juga sedang memburu rakan sepenjenayah lain yang masih bebas berdasarkan pengakuan suspek,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut beliau, dengan tertangkapnya suspek utama, pihaknya percaya beberapa kes jenayah harta benda yang dilaporkan di sekitar Ipoh akan dapat diselesaikan.
Media Rabu lalu melaporkan, polis berjaya menumpaskan geng pecah gudang dan curi peralatan pembinaan di Bercham dengan tertangkapnya empat lelaki.
Kesemua suspek berusia 42 hingga 58 tahun itu diberkas ketika sedang sibuk memindahkan barang curi berkenaan ke dalam kenderaan. – KOSMO! ONLINE