PETALING JAYA – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melancarkan aplikasi eDesa sebagai platform untuk mengetengahkan produk keluaran anak-anak tempatan luar bandar khususnya golongan industri kecil sederhana (IKS).
Menterinya , Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya bersetuju bekerjasama membangunkan aplikasi ini yang akan memainkan peranan penting selaras dengan hasrat KPLB yang mengutamakan kesejahteraan rakyat.
“Fokus platform ini adalah untuk meningkatkan hasil dan pendapatan masyarakat luar bandar terutama dari golongan IKS.
“Secara agresif, saya yakin bahawa dagangan dalam talian ini juga lebih bermakna apabila masyarakat faham dan boleh menggunakannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Aplikasi eDesa di Hotel Premiera di sini, hari ini.
Mahdzir Khalid berkata, terdapat beberapa agensi yang turut membantu memberi pinjaman, geran dan khidmat nasihat bagi meningkatkan produk dan kualiti peniaga-peniaga luar bandar.
“Agensi yang terlibat adalah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA)dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA),” ujarnya.
Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan eDesa, Saiful Zaharin Zakariya berkata, terdapat lima modul yang dibangunkan secara berperingkat supaya aplikasi itu dapat beroperasi secara menyeluruh.
“Modul tersebut merupakan produk, penghantaran, barangan basah, Inap Desa, perkhidmatan dan serbaneka.
“Dijangkakan, sebanyak 20,000 peniaga tempatan akan memasarkan produk masing-masing di dalam aplikasi eDesa menjelang akhir tahun ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE