fbpx

Tiga lagi suspek kes merusuh di Jabatan Kecemasan hospital di Ipoh ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mior Faridalathrash

IPOH – Polis menahan tiga lagi suspek kes merusuh di pekarangan Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dekat sini yang tular dalam media sosial, kelmarin.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid memberitahu, tangkapan melibatkan lelaki berusia 18, 20 dan 21 tahun.

“Ketiga-tiga suspek ini masing-masing ditahan di Medan Kidd, pekarangan pejabat D7 (Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap) dan di tepi Jalan Horley. Kesemua mereka diberkas semalam.

“Kelmarin, kita juga telah memberkas seorang lelaki berusia 24 tahun di pekarangan tempat letak kereta awam berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada pukul 11.50 malam,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, berdasarkan siasatan suspek berusia 18 dan 20 merupakan rakan manakala suspek berusia 24 dan 21 tahun tidak mengenali antara satu sama lain.

Katanya, hasil ujian awal saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis ganja.

“Kesemua mereka ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menerusi laporan media kelmarin, Mior Farid berkata, insiden kekecohan itu dipercayai berpunca ekoran perselisihan faham antara beberapa individu dan pengawal keselamatan.

Katanya, kekecohan berlaku melibatkan sekumpulan lelaki warga tempatan yang datang ke hospital itu untuk menghantar rakan-rakan mereka yang cedera.

“Pihak polis menerima dua laporan bagi kejadian berasingan namun kes tersebut saling berkaitan yang mana sebelum kejadian di HRPB, kita menerima laporan membabitkan kes mendatangkan cedera oleh seorang lelaki warga tempatan menggunakan senjata tajam.

“Dalam kejadian tersebut, tiga individu cedera dan sedang menerima rawatan di HRPB. Punca kejadian dipercayai akibat perselisihan faham antara dua keluarga membabitkan isu percintaan.

“Siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI