MANCHESTER – Bekas pemain pertahanan Manchester United, Gary Neville mempersoalkan cara pasukan itu merekrut pemain baharu sejak beberapa musim lalu.
Menurutnya, pasukan itu sering dilihat tertekan dan terdesak setiap kali cuba untuk mendapatkan pemain baharu.
Katanya, United berdepan kesukaran untuk mendapatkan pemain baharu sama seperti ketika mereka mendapatkan khidmat Harry Maguire, Aaron Wan Bissaka dan Bruno Fernandes.
Ketiga-tiga pemain itu adalah contoh bagaimana United terpaksa melalui proses rundingan yang panjang sebelum berjaya menandatangani pemain berkenaan.
Situasi ketika ini menyaksikan tidak ada perubahan berlaku ketika jendela perpindahan hampir menemui penghujung, United hanya mampu menandatangani seorang sahaja pemain iaitu Donny Van De Beek.
“Chelsea sudah menyelesaikan urusan mereka, City juga sudah mendapatkan tiga atau empat pemain yang diinginkan.
“Apa yang berlaku sejak enam atau tujuh tahun lalu, United sentiasa berdepan kesukaran untuk mendapatkan pemain yang diperlukan.
“Mereka (United) menggantung urusan untuk mendapatkan harga yang berpatutan tetapi pada akhirnya terpaksa membayar juga jumlah yang diminta.
“Setiap urusan perlu diberikan tempoh tertentu, jika gagal mendapat apa yang inginkan, mereka perlu berani beralih ke sasaran lain,” katanya.
Neville mengakui bosan dengan perkembangan mengenai usaha berterusan United untuk mendapatkan pemain Borussia Dortmund, Jadon Sancho.
“Saya kecewa dan bosan dengan perkembangan Sancho. Proses berkenaan terlalu panjang. Mereka patut bertemu Dortmund dan memberitahu supaya mereka ‘menyimpan’ Sancho kerana United akan memburu pemain lain,” katanya. – AGENSI