KUANTAN – Seorang mekanik maut selepas kereta jenis BMW dipandunya terbabas dan masuk ke dalam parit di Jalan Kuantan-Maran berhampiran pusingan U Batu 3 Tanah Putih di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, kejadian kira-kira pukul 11.20 malam itu berlaku ketika mangsa, Mohd. Khairol Aman Mohd Nisam,32, dalam perjalanan dari arah Gambang ke bandar Kuantan.
“Apabila sampai di tempat kejadian yang merupakan laluan lurus tiba-tiba pemandu kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan masuk ke dalam parit.
“Akibat kemalangan pemandu kereta mengalami kecederaan di bahagian kepala meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut Wan Mohd. Zahari mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kemalangan adalah jalan lurus dan permukaan jalan adalah rata dan kering serta semasa kejadian cuaca adalah baik. – KOSMO! ONLINE