PETALING JAYA – Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menghulurkan sumbangan kepada 1000 pelajar yang bakal menempuh alam persekolahan baharu Mac ini melalui program CSR ‘Kembali ke Sekolah’.
Pengarah Urusan AIM, Mohamed Shamir Abdul Aziz berkata, penerima sumbangan berupa kelengkapan pakaian persekolahan, alat tulis, beg, dan kasut sekolah itu merupakan anak-anak Sahabat Usahawan AIM di Pulau Pinang yang masih bersekolah rendah.
“Program ini merupakan sebahagian daripada usaha dilakukan AIM untuk meringankan beban sahabat-sahabat usahawannya yang terkesan dengan keadaan pandemik Covid-19 yang telah menjejaskan pendapatan mereka.
“Pemberian kelengkapan persekolahan ini juga diharap dapat menceriakan dan memberi semangat untuk anak-anak Sahabat Usahawan AIM melangkah semula ke alam persekolahan setelah lama menjalani pembelajaran di rumah sepanjang tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program ‘Kembali Ke Sekolah’ yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak, yang berkenan hadir menyampaikan sumbangan berkenaan kepada anak-anak yang dipilih.
Sementara itu, Pulau Pinang merupakan antara negeri yang cemerlang dari segi pembayaran balik pinjaman seramai 5,767 Sahabat Usahawan AIM di negeri itu dengan catatan rekod 0 peratus bagi prestasi berisiko (PAR)
Hingga kini, jumlah kumulatif pembiayaan yang telah dikeluarkan untuk seluruh Pulau Pinang ialah sebanyak RM1.1 bilion, dan bagi tahun 2022, sebanyak RM39.7 juta diperuntukkan. – KOSMO! ONLINE