MELAKA – Seramai 65 individu diberkas polis selepas dipercayai terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah termasuk kes pemerdagangan bayi dan pecah rumah sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kesemua suspek berusia 18 hingga 79 tahun itu ditangkap dalam Op TBC sejak 25 Januari sehingga Rabu lalu.
“Dalam operasi yang dijalankan sepanjang 23 hari itu, kita berjaya memberkas 65 individu iaitu 54 lelaki dan 11 wanita dipercayai terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah.
“Dua daripadanya dipercayai terlibat dalam kes pemerdagangan bayi, kes pecah rumah dan curi (10), kes kongsi gelap (12), kes mencederakan (satu), menjalankan perjudian (21) dan kesalahan Imigresen (lima),” katanya.
Tambahnya, seramai 10 suspek turut ditangkap di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA), satu kes rokok seludup serta lain-lain kesalahan.
Mengulas lanjut beliau berkata, hasil tangkapan itu, pihak polis berjaya menyelesaikan 25 kes pecah rumah dan samun yang dilaporkan sepanjang perayaan Tahun Baharu Cina.
“Kita percaya dengan tangkapan 10 suspek, sebanyak 25 kes pecah rumah dan curi yang dilaporkan sepanjang Tahun Baharu Cina berjaya diselesaikan.
“Suspek yang ditahan akan disiasat mengikut seksyen jenayah masing-masing dan polis akan terus komited menjalankan operasi bagi membanteras jenayah terutama pada musim perayaan,” katanya. – Kosmo! Online.