BEIJING – Penantian Belgium selama 74 tahun untuk meraih pingat emas pertama di temasya Sukan Olimpik musim sejuk berakhir selepas Bart Swings berjaya meraih kemenangan dalam acara speed skating pada temasya yang berlangsung di Beijing kelmarin.
Atlet berusia 31 tahun tersebut yang memenangi pingat perak di Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang (2018) mempamerkan aksi terbaik untuk merangkul kejayaan luar biasa.
Pastinya ia adalah kejayaan terbaik dicapai Swings buat negaranya apabila emas pertama Belgium di Sukan Olimpik Musim Sejuk kali terakhir diperoleh menerusi Micheline Lannoy dan Pierre Baugniet pada 1948.
“Ia adalah satu sejarah dan pastinya luar biasa kerana daripada pingat perak saya berjaya merangkul pingat emas di Beijing.
“Saya bekerja keras empat tahun lalu dan akhirnya impian saya tercapai untuk membantu negara meraih pingat emas. Saya sangat gembira dengan pencapaian ini dan terima kasih kepada semua,” katanya.
Atlet Korea Selatan, Chung Jae-won dan Lee Seung-hoon masing-masing meraih perak dan gangsa.
Sementara itu, dalam acara wanita, Irene Schouten berjaya menambah koleksi emas ketiganya dalam temasya sukan tersebut sekali gus memastikan Belanda meneruskan penguasaan dalam disiplin itu.
Atlet Kanada, Ivanie Blondin yang tekad untuk menamatkan penguasan Belanda terpaksa berpuas hati tempat kedua untuk meraih perak dan gangsa menjadi milik atlet Itali, Francesca Lollobrigida. – AGENSI