PETALING JAYA – Hanya kerana sebuah adegan, drama Love in Lockdown menjadi bahan bualan dan kecaman netizen dalam media sosial sejak beberapa hari lalu.
Semuanya gara-gara sebuah babak dalam kereta memaparkan pelakon utamanya, Siti Saleha dan Shah Iskandar yang dilihat sedang mengemaskan diri dan pakaian masing-masing.
Turut memberi pandangan mengenai adegan yang disamakan seperti soft porn tersebut, penyanyi sensasi Caprice berpendapat netizen tidak seharusnya mengecam para pelakon sebaliknya pengarah yang perlu dipersoalkan.
“Buat apa dalam kereta? Netizen kecam babak Siti Saleha dan Shah Iskandar. Pertama sekali tidak adil jika hendak mengecam dan menghentam pelakon terlibat.
“Mereka semua dibayar untuk melakonkan babak tersebut dan hanya ikut skrip. Anda semua sepatutnya marah kepada pengarah drama tersebut,” katanya dalam sebuah hantaran Instagram.
Seperti ingin menjernihkan keadaan, penyanyi lagu Kau Hade itu turut meminta netizen meninggalkan komen menceritakan semula adegan kontroversi tersebut tanpa sebarang unsur lucah.
“Saya minta anda tuliskan situasi babak dalam kereta tersebut tanpa menjadi lucah. Jika menarik, saya akan berikan hadiah istimewa,” katanya lagi.
Sementara itu, dalam ruangan komen hantaran Instagram Siti Saleha, rata-rata netizen melahirkan rasa kecewa dengan kewujudan adegan berkenaan.
“Saya perminat awak tetapi ada babak tidak patut ditayang dalam drama ini.
“Kita ada adab, jadi sangat sedih apabila ternampak adegan seperti itu. Tolonglah janga maju dengan cara sebegitu,” komen seorang netizen.
Terdahulu, nama Siti Saleha yang melakokan watak Doktor Suzana menjadi bahan bualan netizen selepas adegan kontroversi tersebut tular dalam media sosial.
Sebagai info, Love in Lockdwon yang ditayangkan bermula hari ini menerusi platform penstriman Sooka berkisarkan pahit manis kehidupan segelintir individu sepanjang tempoh pandemik Covid-19. – KOSMO! ONLINE