fbpx

Siang jaga ibu bapa sakit, malam kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Aliff membantu ibunya, Che Wan Norizan yang menghidap strok di rumah mereka di Kampung Dadong, Air Putih, Kemaman baru-baru ini.

KEMAMAN – Jika remaja seusia­nya kini sedang bertungkus lumus belajar, berlainan pula bagi Muhammad Aliff Najmi Ghalias, 18, apabila dia perlu berkorban menyara keluarga selepas kedua-dua ibu bapanya terlantar sakit.

Muhammad Aliff berkata, bapanya, Ghalias Muda, 57, menghidap penyakit saraf pada bahagian tangan menyebabkannya tiada kudrat meneruskan pekerjaan sebagai pemandu lori sejak tiga tahun lalu.

Tambahnya, keluarganya te­rus ditimpa dugaan apabila ibu­nya, Wan Norizan Che Wan Mohd, 54, yang sebelum ini menyara keluarga dengan bekerja sebagai pembantu kedai pula diserang strok pada Oktober tahun lalu.

“Masalah kesihatan dialami kedua-dua orang tua memaksa saya nekad mengambil keputusan berhenti sekolah tanpa sempat mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Semuanya demi pengorbanan untuk menyara keluarga saya yang kini kesempitan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Dadong, Air Putih di sini baru-baru ini.

Muhammad Aliff Najmi berkata, dia kini bekerja sebagai petugas kebersihan di sebuah hospital di daerah ini.

Begitupun, tahap kesihatan ibu bapa dan keperluan menjaga kebajikan adik bongsunya yang kini berusia tujuh tahun menyebabkan dia hanya boleh be­kerja pada syif malam.

“Buat masa ini, saya hanya boleh bekerja syif malam iaitu dari pukul 10 malam hingga 7 pagi.

“Ia disebabkan pada waktu siang saya perlu menguruskan rumah seperti memandikan ibu dan memasak,” katanya.

Muhammad Aliff berkata, dia sentiasa berdoa agar ibu dan ayah dapat pulih selain dirinya dapat menyambung pelajaran dalam bidang kemahiran suatu masa nanti.

Katanya, setakat ini, keluarganya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan selain permohonan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bapanya yang sedang diproses.

“Kami terpaksa berjimat cermat membelanjakan gajinya dan wang bantuan kerana perbelanjaan perubatan kedua-dua orang tua agak tinggi.

“Selain membeli lampin pakai buang, ibu masih perlu menjalani rawatan susulan fisioterapi di Hospital Kemaman setiap dua minggu,” luahnya.

Muhammad Aliff berkata, perjalanan berulang-alik ke hospital sejauh kira-kira 20 kilometer dari rumah dengan perkhidmatan kereta sewa menelan belanja RM80 bagi setiap janji temu.

Orang ramai yang bersimpati boleh menyalurkan bantuan ke akaun Bank Simpanan Nasional milik Che Wan Norizan bernombor 11111-41- 00019568-9 atau menghubungi wanita itu di talian 011-16018542.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI