fbpx

Bola sepak bukan gelanggang tinju

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perlawanan melibatkan Terengganu FC II di Kuala Terengganu baru-baru ini.
MUHAMMAD RIDUAN MOHD. HANAFIAH
WARTAWAN EKSEKUTIF

INSIDEN pertempuran ala-ala kungfu dalam bola sepak yang berlaku baru-baru ini mencemarkan reputasi sukan lebih-lebih lagi ketika saingan Liga Malaysia (Liga M) bakal membuka tirai penghujung bulan ini.

Mana tidaknya, video ‘panas’ pergaduhan antara pasukan Penang FC dan Terengganu FC II (TFC II) yang ‘bergaduh’ pada aksi pramusim Piala Menteri Besar Terengganu 9 Februari lalu mencecah ratusan ribu tontonan.

Pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu, perlawanan antara kedua-dua pasukan terpaksa dihentikan selepas pemain skuad Harimau Kumbang, Adib Raop mengalami pendarahan di bahagian hidung selepas ditumbuk pemain TFC II.

Aksi ganas tersebut turut mendapat reaksi kurang senang bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kamarudin Abdullah yang menyifatkan ia tidak seharusnya terjadi lagi-lagi ketika perlawanan pramusim.

Tegasnya, bola sepak adalah satu sukan wadah penyatuan masyarakat sekali gus menjadi contoh yang baik kepada umum dan bukannya perpecahan.

“Pendapat saya, seharusnya FAM boleh mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut peraturan yang ditetapkan oleh jawatankuasa tatatertib nanti.

“Biasanya kalau pergaduhan membabitkan ramai pemain, hukuman berat menanti mereka. Apa yang pasti, saya yakin FAM akan kaji semula sebelum membuat keputusan termasuk tahap keselamatan yang disediakan tuan rumah untuk pertandingan.

“Pergaduhan yang tercetus itu satu tindakan memalukan dan harap pemain selepas ini jangan jadikan bola sepak sebagai tempat melepaskan sifat amarah,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Mohd. Firdaus Mohamed menyifatkan insiden tersebut cukup serius kerana memalukan bola sepak tempatan.

“Kita akan melakukan siasatan terperinci kerana ini insiden yang cukup serius dan memalukan bola sepak tempatan tetapi harus menunggu laporan penuh daripada pengadil perlawanan dahulu.

“Kemudian, barulah kita akan serahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib untuk menjatuhkan hukuman yang sewajarnya kepada pihak yang terlibat,” katanya

Mohd. Firdaus yang juga Naib Presiden FAM turut menyeru agar pasukan yang bertanding pada kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini menitikberatkan aspek disiplin pemain selain fokus kepada teknikal di atas padang semata-mata.

“Tidak wajar untuk pihak pengurusan pasukan sekadar memberi tumpuan pada aspek kecergasan dengan mengatur siri perlawanan persahabatan semata-mata.

“Mereka boleh melakukan kursus di luar padang bagi menekankan betapa pentingnya disiplin di atas padang selain mencadangkan hukuman di peringkat dalaman seperti pemotongan gaji jika insiden pergaduhan seperti itu berulang,” katanya.

Akibat insiden tersebut, pemain Penang FC, Adib Raof cedera di bahagian hidung selepas tindakannya yang cuba meleraikan pergaduhan antara rakan sepasukannya dan Terengganu FC II.

Kelab tersebut menjelaskan, tindakan agresif tersebut menyebabkan beberapa pemain Penang hilang kawalan dan membalas balik tindakan fizikal ­tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI