MISANO – Selepas cemerlang memulakan saingan musim ini menerusi dua kemenangan di Litar Jerez, prestasi pelumba pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing (SRT), Fabio Quartararo dilihat semakin tenggelam.
Meskipun masih menerajui senarai Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini, namun pelumba Perancis itu dilihat agak bergelut dalam tiga perlumbaan terdahulu.
Justeru, Quartararo meletakkan sasaran untuk kembali berada di podium pada Grand Prix (GP) San Marino di Litar Misano hujung minggu ini memandangkan hanya dibezakan tiga mata dengan pencabar terdekat dari pasukan Ducati, Andrea Dovizioso.
“Kami perlu kembali berada di podium pada perlumbaan akan datang jika mahu mendapatkan mata yang banyak, lebih-lebih lagi di litar yang sesuai dengan jentera pasukan.
“Sasaran kami sekarang adalah untuk kembali sesuaikan diri dengan jentera, sama seperti ketika beraksi pada dua perlumbaan di Jerez,” kata Quartararo.
Sementara itu, rakan sepasukan Quartararo, Franco Morbidelli tekad untuk menamatkan perlumbaan dalam kedudukan terbaik memandangkan dia akan berlumba di laman sendiri.
“Misano adalah ‘rumah’ saya, jadi saya rasa sangat teruja. Litar ini sangat unik serta mengelirukan tetapi ia adalah salah satu litar kegemaran saya,” ujarnya. –AGENSI