BERMULA perlumbaan Grand Prix Qatar pada 6 Mac depan, maka secara rasmilah bahawa saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) bakal berlangsung tanpa lagi kelibat pelumba negara.
Selepas Hafizh Syahrin Abdullah tidak disambung kontraknya bersama pasukan Moto2 NTS RW Racing GP, tidak ada lagi wakil negara bakal bersaing dalam perlumbaan dua roda paling berprestij di dunia itu.
Mungkin ada sedikit kekesalan terutama ketika Malaysia pernah memiliki dua lagi pelumba sebelum ini dalam kejuaraan tersebut, termasuk Khairul Idham Pawi dan Adam Norrodin, namun seorang demi seorang gagal bertahan.
Selepas beberapa musim Malaysia memiliki sebuah pasukan lengkap yang bersaing dalam MotoGP, para peminat terpaksa menerima hakikat bahawa ia sudah terbubar apabila penaja utama menarik diri.
Bagaimanapun, kesedihan itu mungkin sedikit terubat apabila masih ada anak Malaysia yang kekal dalam saingan berkenaan walaupun bukan sebagai pelumba tetapi sekurang-kurang bangsa ini masih merasakan mereka sebahagian daripada perlumbaan berkenaan.
Individu bernama Datuk Razlan Razali akan terus memacu semangat dan keterujaan seluruh peminat sukan permotoran negara terhadap MotoGP apabila pasukannya WithU RNF MotoGP Team akan bersaing dalam perlumbaan kelas perdana itu.
Razlan dalam sesi temu bual eksklusif bersama Kosmo! sebelum ini memberitahu, fokus beliau ketika ini adalah untuk memastikan pasukan tersebut terus kukuh dan mampu menjadi antara pencabar dalam perlumbaan itu nanti sambil mengakui lebih tenang tanpa campur tangan politik dan birokrasi berbanding sebelum ini.
Biarpun sedikit kekesalan terzahir dek kerana gagal mempertahankan segala perancangan yang sudah dibuat bersama pasukan lama, namun tekad dan nekadnya untuk terus kekal mengibarkan Jalur Gemilang di persada dunia wajar untuk diberikan kredit.
Pernah menjadi mangsa kejian dan makian kerana dianggap tiada semangat patriotisme gara-gara tidak menyenaraikan seorang pun pelumba negara dalam pasukan lama musim lalu, Razlan percaya persaingan dalam MotoGP bukan sekadar untuk membangkitkan semangat kenegaraan semata-mata.
Ia satu industri bukan untuk dicuba-cuba tetapi banyak risiko yang perlu dipertimbangkan dan setiap keputusan yang diambil perlulah tepat terutama ketika ia melibatkan ringgit dan sen yang tidak sedikit jumlahnya.
Tidak sepatutnya wujud sentimen pasukan milik negara perlu ada pelumba tempatan sebaliknya, pelumba tempatanlah perlu menggunakan peluang ketika negara memiliki pasukan untuk memberikan aksi terbaik kalaupun tidaklah terlalu hebat tetapi menyamai kemampuan pelumba-pelumba lain sudah dikira bagus.
Walau apapun, kita mengharapkan Razlan akan terus bersemangat dalam dunia pengurusan pasukan MotoGP dan siapa tahu jika selepas ini WithU RNF MotoGP Team mampu berkembang dengan memiliki pasukan Moto3 dan Moto2 akan ada anak Malaysia yang layak secara merit untuk kembali ke saingan itu.