SKUAD badminton wanita Indonesia melakar sejarah tersendiri apabila meraih gelaran juara buat kali pertama pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 hari ini.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam itu, Indonesia memastikan trofi kejuaraan menjadi milik mereka selepas menewaskan Korea Selatan 3-1.
Sebagai rekod, kemenangan itu sekali gus memastikan Indonesia menebus kekecewaan pada edisi 2018 di Kedah apabila tersingkir di peringkat separuh akhir selepas tewas kepada Jepun.
Dalam aksi final hari ini, perseorangan wanita, Gregoria Mariska Tunjung memulakan langkah juara Indonesia menerusi apabila menang 21-9, 21-10 ke atas Sim Yujin.
Bagaimanapun, Korea kembali menyamakan kedudukan 1-1 menerusi beregu wanita, Baek Ha Na-Seong Seung Yeon yang menewaskan Febriana Dwipuji Kusuma-Amalia Cahaya Pratiwi 21-15, 14-21, 21-14.
Indonesia kembali berada di depan selepas perseorangan wanita kedua, Putri Kusuma Wardani mengenepikan cabaran Lee Se Yeon dalam aksi straight set 21-10, 21-18.
Kemudian, gandingan Nita Violina Marwah-Lanny Tria Mayasari memastikan kejuaraan menjadi milik Indonesia apabila meyumbang mata kemenangan selepas menewaskan Kim Min Ji-Park Min Jeong 23-21, 21-11.
“Sebelum turun ke gelanggang, kami tidak terlalu fikirkan mengenai mata kemenangan kerana mahu memberikan aksi terbaik dalam perlawanan itu. Hasilnya kami menang dan menghadiahkan mata kejuaraan buat Indonesia,” kata Nita Violina.-KOSMO! ONLINE