LANGKAWI – Cubaan sepasang kekasih melarikan diri daripada polis dengan memecut laju kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza secara melawan arus gagal apabila mereka ditahan di Jalan Padang Matsirat di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, kenderaan dinaiki pasangan kekasih berusia 42 dan 34 tahun tersebut hilang kawalan lalu terbabas ke dalam parit di bahu jalan.
Video kenderaan yang dipandu suspek secara melawan arus sambil dikejar kereta peronda polis viral di Facebook malam semalam.
Selain itu, terdapat juga video lain menunjukkan kenderaan berkenaan terbabas di Jalan Padang Matsirat.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari memberitahu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Langkawi yang melakukan tugasan Ops Tapis mengesan kenderaan Toyota Avanza dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan berhampiran Pusat Perdagangan Kelana Mas.
Katanya, polis mengesyaki suspek terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.
“Sebaik menyedari kehadiran polis, suspek bertindak memecut kenderaan itu dan melanggar beberapa kenderaan lain.
“Polis mengejar suspek yang menghala ke Jalan Padang Matsirat dan memandu secara melawan arus sebelum terbabas ke dalam parit di tepi jalan,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE