MERSING – Aktiviti riadah lapan sahabat memancing di laut bertukar detik cemas apabila bot yang dinaiki mereka karam di perairan Rompin, Pahang malam semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat kecemasan melalui talian MERS 999 kira-kira pukul 9.35 malam.
Menurutnya, panggilan itu dibuat salah seorang pemancing yang memaklumkan bot pancing yang mereka naiki Pulau Seri Buat dan Pulau Tasu.
“Operasi Carilamat telah diaktifkan pada pukul 9.50 malam melibatkan bot APMM, Pasukan Polis Marin (PPM) bersama komuniti nelayan setempat.
“Sekitar pukul 11.20 malam, kesemua lapan mangsa berjaya ditemui oleh sebuah bot fiber yang melalui kawasan kejadian dan dibawa ke Jeti Awam Penyabong pada pukul 11.50 malam,”katanya dalam satu kenyataan di sini.
Nurul Hizam berkata, kesemua lapan mangsa lelaki yang juga rakyat tempatan berumur antara 27 tahun hingga 56 tahun memaklumkan mereka berpaut pada bot dan memakai jaket keselamatan sementara menanti bantuan tiba.
Jelasnya, punca kejadian dipercayai berlaku kebocoran pada eksoz bot dan menyebabkan air masuk ke dalam bot sehingga luar kawalan.
“MRSC Johor Bahru mengucapkan ribuan terima kasih di atas bantuan agensi- agensi dan komuniti nelayan setempat dalam operasi carilamat ini.
“Kegunaan jaket keselamatan terbukti menjadi alat bantuan keselamatan yang mampu menyelamatkan nyawa di laut sekiranya berlaku kecemasan,”katanya.-KOSMO! ONLINE