fbpx

Miskin sangat ke nak saman saya RM1 juta? – Chef Wan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHEF WAN menunjukkan surat saman yang diterima daripada bekas menantunya.

PETALING JAYA – Cef selebriti terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan terkilan selepas menerima surat tuntutan saman daripada bekas menantunya, Shikin Maembong yang juga kakak kepada pelakon, Emma Maembong.

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Chef Wan berkata surat tuntutan saman itu telah dihantar melalui peguam bekas menantunya untuk menuntut saman malu berpunca daripada teguran terbukanya mengenai perbalahan Shikin dengan bekas suami, Nadzri berhubung soal anak.

“Bekas isteri anak saya, Shikin Maembong melalui peguamnya telah menghantar surat saman malu kononnya beberapa bulan lalu saya menegurnya dan anak saya, Nadzri bergaduh tentang anak. Hak bapa atau ibu adalah sama ke atas anak itu.

“Kerana mahu membalas dendam sebab tidak berpuas hati tentang urusan nafkah anak, dia (Shikin) menggunakan cara itu (saman),” katanya.

Ujar cef selebriti berusia 65 tahun itu, dia penat untuk melayan ‘drama’ yang terjadi kerana kedua-duanya sudah dewasa dan boleh berfikir.

Pada masa sama, Chef Wan turut terkilan atas tindakan saman yang dikenakan ke atasnya kerana dia telah banyak membantu wanita itu ketika dalam kesusahan.

“Tak rasa malu ke semasa susah, saya juga yang uruskan bil hospital dan macam-macam lagi. Sebagai bekas bapa mertua, salah ke jika saya memberikan nasihat?

“Sebagai orang tua, saya memberikan nasihat yang baik-baik tanpa perlu melibatkan mahkamah untuk mendapatkan hak penjagaan anak. Ramai orang bercerai, namun masih sama-sama menjaga anak,” ujar Chef Wan.

Dedah Chef Wan lagi, sudah hampir setahun Nadzri tidak berjumpa dengan anaknya kerana dihalang oleh bekas isterinya.

“Masing-masing dan tua. Tolonglah matang. Mahkamah ada banyak isu yang penting. Jangan ditambah lagi isu-isu bodoh nak saman bekas bapa mertua.

“Kau lupa ke jasa-jasa aku bersusah payah kahwinkan kau berdua guna duit saya 100 peratus? Anak saya dah bersetuju untuk anaknya dijaga ibu (bekas isteri) cukuplah. Jika dia (Nadzri) mahu luangkan masa bersama anaknya beberapa hari dalam sebulan biarkan. Itu adalah anaknya,” luah Chef Wan.

Dalam hantaran itu juga, Chef Wan enggan untuk melayan tuntutan bekas menantunya itu kerana letih untuk membuang masa.

“Saya tidak ada masa. Letih saya melayan kisan anak-anak ini semua. Miskin sangat ke nak saman saya RM1 juta?” ujar Chef Wan.

Sekadar info, Nadzri atau nama lengkapnya Mohd Nadzri Redzuwan, 40, mendirikan rumah tangga dengan Shikin atau Siti Nur’ Ashikin Ismail pada 5 Disember 2014 dan bercerai pada Jun 2016.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Putri Arianna Natasya yang kini berusia tujuh tahun.

Nadzri yang baru sahaja berkahwin buat kali ketiga pada Januari lalu sebelum ini pernah berkahwin dengan pelakon, Ana Dahlia untuk perkahwinan pertama. Mereka bercerai pada 10 Disember 2012, selepas 11 bulan mendirikan rumah tangga. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI