Oleh AZIZAH SHAFIEI
BERA – Pelbagai maklumat negatif di media sosial mengenai kesan suntikan vaksin Covid-19 tidak menghalang seorang ibu membawa tiga anaknya sekali gus bagi mendapatkan suntikan vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) di Sekolah Kebangsaan Sri Buntar di sini hari ini.
Norliani Md. Shaid,37, berkata, meskipun bimbang dengan kesan yang boleh berlaku selepas suntikan dia nekad membawa anaknya yang berumur tujuh, sembilan dan 11 tahun mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
“Saya dan suami sudah bersedia awal dalam perkara ini, walaupun ada perasaan bimbang terhadap kesan kepada anak-anak selepas melihat pelbagai kejadian di media sosial.
“Bagaimanapun saya yakin dengan usaha kerajaan ini, ini adalah ikhtiar dan kami bersetuju anak-anak menerima vaksin supaya dapat mengurangkan risiko jangkitan Covid-19,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, dia berharap vaksin yang diterima anaknya itu akan dapat menghindarkan kesan lebih buruk akibat penularan Covid-19 yang semakin meningkat.
Dalam pada itu seorang lagi ibu Roslina Ibrahim, 44, berkata, dia berharap suntikan berkenaan dapat melindungi anaknya daripada kesan buruk akibat penularan wabak Covid-19 yang masih terus meningkat.
Katanya, meskipun bimbang kesan daripada suntika dia memujuk anaknya Zakirah Irdina Nurasmizi,9, yang takut dan menangis ketika dibawa menerima suntikan dos pertama itu.
“Tak sangka pula dia menangis bila masuk stesen ini kerana semalam dan masa tunggu giliran, dia tidak pula bagitahu rasa takut atau apa.
“Alhamdulillah, saya dan jururawat berjaya pujuk walaupun menerima suntikan masa menangis dan mujur dia tidak berlari keluar,”katanya.
Sementara itu Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, anggaran populasi kanak-kanak yang layak menerima vaksin di Pahang ialah sebanyak 192,600 orang. -KOSMO! ONLINE