PETALING JAYA – “Kepada yang cuba buat video tular saya meninggal dunia kerana kemalangan, tidak mengapa, saya maafkan”.
Ujar pelakon Shah Iskandar berhubung dakwaan yang tular dalam media sosial tentang dirinya apabila dikatakan meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya.
Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagramnya, pemilik nama lengkap Shah Iskandar Mahfuz bersyukur kerana masih lagi bernyawa dan menafikan dirinya terlibat dalam kemalangan jalan raya.
“Ada lagi masih hidup. Alhamdulillah. Kepada yang cuba buat video tular saya meninggal dunia kerana kemalangan kereta atau motorsikal, tidak mengapa saya maafkan,” tulisnya.
Pada masa sama, pelakon kelahiran Singapura itu turut menasihati netizen supaya jangan terlalu percaya pada sesuatu berita tanpa mendapat kesahihannya.
“Lain kali periksa dahulu betuk atau tidak sebelum nak letak (kongsikan) dalam TikTok,” jelasnya.
Hasil carian Kosmo! dalam internet mendapati, berita tentang ‘kematian’ Shah Iskandar sebenarnya melibatkan seorang pelajar berusia 17 tahun, Shah Iskandar Nor Haszemi yang memiliki nama sama seperti pelakon tersebut.
Dalam kejadian yang berlaku pada November tahun lalu itu, Shah Iskandar maut dalam nahas membabitkan dua buah kenderaan di kilometer 24, Jalan Seremban – Kuala Pilah berdekatan Jalan Kampung Gedang Terachi, Negeri Sembilan.
Akibat daripada kemalangan tersebut, Shah Iskandar yang menunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. – KOSMO! ONLINE