ALOR GAJAH – Hasrat seorang penghantar makanan ingin mengumpul duit membelikan ibu dan ayahnya sebuah kereta tidak kesampaian apabila maut dalam nahas di bulatan Seri Bayan, Durian Tunggal di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, mangsa, Jannahtul Firdaus Jailani, 24, meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal jenis Honda ditunggangi melanggar sebuah lori.
Adik mangsa, Jannahtul Nur Afiqah, 21, berkata, abangnya itu meluahkan hasrat tersebut pada pagi semalam apabila memberitahu ingin membeli sebuah kereta untuk digunakan oleh ibu dan ayah mereka.
“Pagi semalam abang ada berbincang mengenai perancangannya nak belikan umi dan abah kereta, tidak sangka pula ini yang terjadi,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka, di sini hari ini.
Sementara itu, bapanya, Jailani Md. Ali, 53, memberitahu, anaknya itu merupakan pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan sedang menunggu panggilan latihan industri.
“Dia baru sahaja bekerja sebagai rider dalam sebulan lebih, hari ini pun dia ada bagitahu nak berehat tetapi dalam pukul 9 pagi tadi saya nampak dia keluar, tidak tahulah nak menghantar atau ambil makanan.
“Pukul 12 saya dapat panggilan daripada nombor tidak dikenali beritahu anak terlibat dalam nahas dan saya tengok gambar kemalangan di WhatsApp, plat kenderaan adalah motosikal Firdaus dan dia sudah ditutupkan dengan kain,” katanya sebak.
Tambahnya, anak kedua daripada empat beradik itu juga ada memberitahu ibunya mengenai hasrat untuk mengikat tali pertunangan pada tahun ini.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Melaka, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, kemalangan berlaku apabila mangsa dalam perjalanan dari arah Gangsa ke Batu Berendam.
“Setiba di lokasi, mangsa yang ingin membelok ke kanan telah melanggar bahagian tepi kanan hadapan sebuah lori yang menuju ke Taman Merdeka.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Katanya, mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE