PASIR MAS – Wanita sarat mengandung yang maut dalam kemalangan dua motosikal sehingga bayi lelakinya terkeluar daripada rahim sempat diajar mengucap oleh suami di tempat kejadian di Kampung Banggol Stor, Repek di sini kelmarin.
Kata suami mangsa, Mohd. Khairi Hasbullah berkata, arwah, Nor Haliza Abdul Yazaib, 25, juga memohon maaf kepadanya sebelum dia menghembuskan nafas terakhirnya.
Dalam kejadian kelmarin, arwah anaknya yang berusia 9 bulan dalam kandungan turut meninggal dunia dalam kemalangan dua motosikal itu.
Menceritakan kejadian itu, Mohd. Khairi berkata, arwah meminta kebenaran menunggang motosikal secara berasingan untuk ke kedai runcit.
Ujarnya, arwah tidak selesa jadi pembonceng kerana perutnya sudah sarat dan menunggu masa lahirkan anak keempat.
Berita berkaitan: Ibu sarat mengandung maut, anak terkeluar daripada rahim
“Biasanya setiap kali keluar, saya bawa arwah bersama-sama.
“Cuma semalam (kelmarin), arwah meminta untuk menunggang berasingan bersama anak kami Nurul Iman Maisara, 6. Jadi saya izinkan kerana jarak kedai runcit dengan rumah tidak jauh, cuma tiga kilometer,” jelasnya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol di sini semalam.
Mohd. Khairi berkata, semasa tiba di lokasi kejadian, dia terkejut sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki dalam keadaan laju telah masuk ke laluan mereka.
Ujarnya, dia sempat mengelak, namun isterinya gagal sebelum motosikal tersebut telah bertembung dengan Nor Haliza.
“Saya terus bergegas ke tempat isteri untuk memeriksa keadaannya.
“Saya lihat ada tompok darah. Saya terus ajar arwah mengucap dua kalimah syahadah dan dia memohon maaf sebelum menghembuskan nafas terakhirnya,” ujarnya.
Mohd. Khairi berkata, selepas itu dia terkejut mendapati anak lelaki yang dikandung isterinya sudah berada di luar rahim Nor Haliza.
Bayinya meninggal dunia di hospital dan dua beranak itu dikebumikan dalam satu kubur di Kampung Banggol Stol semalam.