PETALING JAYA – Pelakon dan pengacara, Che Puan Sarimah Ibrahim meluahkan rasa kecewa apabila pembantu rumah yang dilayan dengan baik telah melarikan diri pada pukul 5 pagi sekitar minggu lalu.
Menurut Sarimah, 44, sebagai majikan beliau melayan pembantu rumahnya dengan baik. Malah, beberapa hari sebelum kejadian tersebut, beliau sekeluarga turut meraikan ulang tahun kelahiran pembantu rumah berkenaan.
“Beberapa hari sebelum itu, dia (pembantu rumah) sangat gembira dan selalu tersenyum dengan kami. Kami nyanyikan lagu selamat hari lahir, beri hadiah dan pelbagai lagi. Kami juga solat dan selawat bersama-sama, dia bukan main baik dan solehah.
“Saya ‘husnuzon’, tapi di manakah pelindungan untuk majikan seperti kami. Perlu ada perubahan dalam perjanjian bersama agensi,” tulis Sarimah dalam Instagramnya semalam.
Memburukkan lagi keadaan, ketika kejadian pembantu rumahnya melarikan diri, pada masa yang sama, Sarimah telah dikejarkan ke kecemasan hospital kerana mengalami muntah yang teruk.
“Saya tidak memuat naik sebarang hantaran selama seminggu kerana minggu lalu cukup mencabar. Minggu lalu daripada dikejarkan ke kecemasan hospital kerana muntah yang teruk kepada kejutan pembantu rumah melarikan diri pada pukul 5 pagi.
“Saya dan keluarga masih dalam pemulihan cuba untuk kuat kembali. Alhamdulillah, Daddy (suami) turut sakit tetapi sudah bertambah baik,” tulis Sarimah lagi.
Dalam pada itu, Sarimah mendedahkan doktor mengesahkan beliau hanya menghidapi flu perut dan bukannya Covid-19.
“Saya telah membuat ujian calitan dan menurut doktor bukan Covid-19. Doktor mengatakan, hanya flu perut dan satu-satunya orang yang tidak sakit adalah orang yang melarikan diri itu,” tulis Sarimah.
Kejadian berkenaan benar-benar memberi pengajaran buat dirinya untuk tidak lagi mempercayai orang luar seratus peratus.
“Jangan sesekali pandang remeh terhadap kesihatan anda dan jangan percaya kepada orang luar selain keluarga seratus peratus,” kata Sarimah.
Dalam pada itu, menerusi ruangan komen, Sarimah bersyukur tiada kejadian lebih buruk berlaku kepadanya dan keluarga.
“Saya dengar cerita yang lebih teruk. Alhamdulillah tiada kejadian yang buruk berlaku dan kami berada dalam keadaan selamat,” tulisnya lagi.
Pelakon berdarah kacukan Melayu-Irish itu mendirikan rumah tangga dengan cucu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar atau Tunku Jamie, pada 2 April 2015.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Tunku Sofia Najihah yang kini berusia tiga tahun. – KOSMO! ONLINE