IPOH – Seorang pemandu van cedera apabila kenderaan dipandunya terlanggar seekor kerbau yang sedang melintas jalan dekat Kampung Rimbunan Kasih Kampung Gajah pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.46 pagi.
Menurut kenyataan itu, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampung Gajah telah dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu.
“Kejadian melibatkan sebuah van jenis Toyota Hiace yang melanggar seekor kerbau sedang melintas jalan.
“Van dinaiki dua orang lelaki di mana pemandunya mengalami kecederaan kerana kami tersepit pada pedal klac manakala penumpang tidak cedera,” ujarnya
Kemalangan juga menyebabkan kerbau liar itu mati sebelum bangkai haiwan tersebut dialihkan.
Pihak bomba telah bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan crowbar bagi mengumpil padel klac.
Mangsa seterusnya diserahkan kepada petugas kesihatan dan operasi yang diketuai PB Alim Bahari tamat sepenuhnya pada pukul 6.47 pagi. – KOSMO! ONLINE