HASRAT skuad badminton wanita negara untuk melangkah ke perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) buat kali pertama lebur selepas tewas 0-3 kepada Korea Selatan sebentar tadi.
Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, perseorangan wanita, S. Kisona tewas 16-21, 17-21 kepada Sim Yujin meskipun cuba melakar kebangkitan di set kedua.
Kemudian, Pearly Tan-Valeree Siow menggalas cabaran Malaysia untuk menyamakan kedudukan pada perlawanan kedua, namun turut kecewa apabila akur dengan kekalahan 15-21, 14-21 kepada Baek Ha-na-Seong Seung-yeon.
“Memang agak sukar pada perlawanan itu tadi kerana mereka menampilkan aksi lebih konsisten berbanding kami. Selain itu, kami juga ada melakukan beberapa kesilapan yang tidak sepatutnya.
“Gandingan kami hari ini juga tidak berapa menjadi kerana sering keliru dengan peranan masing-masing. Kami ragu-ragu mengenai giliran untuk membalas pukulan pemain lawan,” kata Pearly sejurus tamat perlawanna.
Pada perlawanan ketiga, perseorangan wanita remaja, Siti Nurshuhaini Azman menampilkan semangat juang tinggi apabila memaksa Lee Seo-yeon bermain sehingga ke set penentuan.
Bagaimanapun, hasrat untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata tidak terlaksana apabila Nurshuhaini tewas menerusi keputusan 11-21, 21-15, 13-21 dalam tempoh 44 minit. – KOSMO! ONLINE