JOHOR BAHRU – Parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini dibenar untuk berkempen secara fizikal melalui ceramah atau syarahan sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Perkara itu ditetapkan dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) Pencegahan Covid-19 bagi pelaksanaan PRN yang akan berkuat kuasa selepas tarikh penamaan calon iaitu pada 26 Februari hingga 11 Mac.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagaimanapun memberitahu aktiviti berkenaan hanya akan dibenar diadakan di pejabat dan bilik gerakan parti masing-masing dengan jumlah kehadiran tidak lebihi 100 orang.
Dalam satu kenyataan, SPR memaklumkan, jumlah itu termasuklah penganjur, urus setia, penceramah dan peserta dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter dengan memakai pelitup muka.
“Hanya individu lengkap vaksinasi Covid-19 dibenarkan hadir. Penganjur perlu menyediakan kaunter saringan kesihatan untuk menyemak bilangan kehadiran, status vaksinasi, saringan gejala seperti batuk, sakit tekak, selsema dan sesak nafas.
“Peserta bergejala tidak dibenarkan masuk. Semua yang hadir perlu mengimbas aplikasi MySejahtera atau mencatat kehadiran di dalam buku yang disediakan,” jelas kenyataan itu, semalam.-KOSMO! ONLINE