ISKANDAR PUTERI – Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) melancarkan jersi Nike baharu bagi musim ini dalam majlis pelancaran yang turut dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 3,000 penyokong di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, di sini malam tadi.
Mengambil inspirasi daripada warna bendera Johor, kit JDT ‘Home’ terus kekal dengan identiti mereka berwarna merah biru manakala jersi ‘Away’ pula berwarna putih dan merah jambu.
Ini adalah musim kelapan JDT mengenakan kit tajaan Nike buat musim kelapan sejak 2014.
Nike dalam satu kenyataan berkata, JDT akan menggunakan jersi terbaharu yang direka khas dengan teknologi tinggi yang menampilkan teknologi ‘Nike Dri-Fit’.
Katanya, pada tahun ini, Nike melancarkan bukan sahaja jersi lelaki malah turut melancarkan jersi wanita dan kanak-kanak sekaligus menyatukan keluarga terhadap sukan kegemaran ini.
“Masa depan bola sepak dipenuhi bakat-bakat tempatan yang membawa kemahiran bola sepak dan semangat terhadap permainan.
“Masa depan bola sepak juga inklusif, yang merangkumi semua pemain dari pelbagai umur dan latar belakang. Nike komited untuk melabur dalam masa depan bola sepak dan memberi takrifan semula sukan ini buat generasi baharu,” katanya.-KOSMO! ONLINE