KEMBOJA – Skuad bawah 23 tahun (B-23) negara memilih jalan sukar apabila dikejutkan Laos 2-1 pada aksi Kumpulan B Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) di Stadium Prince,Phnom Penh sebentar tadi.
Keputusan Brad Maloney untuk memberikan peluang kepada beberapa muka baharu dan terpaksa ‘berehat’ lebih lama (tidak beraksi susulan Myanmar dan Indonesia tarik diri) seakan-akan menyukarkan pasukan negara menemui keserasian.
Pada perlawanan itu, kapten Laos, Bounphchan Bounkong mengetuai kebangkitan Laos untuk meledak dua gol dalam tempoh 24 minit, sekali gus menafikan jaringan pertama skuad negara di babak pertama.
Sepanjang 20 minit pertama, Laos nyata pasukan yang lebih baik dengan menerapkan tekanan di kawasan lebih tinggi hingga menyukarkan gerakan yang mahu diatur pasukan negara.
Seterusnya, pemain negara akhirnya berjaya memperkemaskan permainan sambil Laos lebih tertumpu kepada serangan balas.
Ketika 45 minit pertama seakan-akan berakhir tanpa jaringan, tonggak tengah negara, Selvan Anbulagan berjaya menempatkan diri di posisi betul untuk menghasilkan gol pembukaan perlawanan pada masa kecederaan.
Seperti dijangka, Laos memulakan babak kedua dengan aksi lebih garang dan hasilnya, minit ke-55, Bounphchan pamer kualiti tersendiri apabila melepasi kawalan dua pertahanan negara sebelum melepaskan rembatan untuk meledak gol penyamaan.
Jaringan penyamaan Laos menjadikan perlawanan kembali seimbang dengan kedua-dua pasukan saling mengatur gerakan untuk memburu gol kedua.
Minit ke-79, Laos mencipta kejutan apabila memperoleh gol pendahuluan dan kali ini menerusi pemain pertahanan, Phetdvanh Somsanid.
Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi di Stadium Nasional Morodok Techno, Isnin ini. – KOSMO! ONLINE