ISKANDAR PUTERI – Kementerian Kesihatan (KKM) perlu mengadakan perbincangan dengan pihak Kementerian Kesihatan Singapura secara terperinci sebelum keputusan untuk membuka sempadan kedua-dua negara dilaksanakan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi tempoh sehingga tiga minggu KKM untuk mengemukakan pandangan mereka.
Menurutnya, kerajaan tetap perlu membuat pertimbangan yang seimbang sebelum melaksanakan perkara itu kerana belum semua rakyat dapat menerima hakikat bahawa mereka perlu hidup dengan Covid-19.
“KKM kena bincang dengan Kementerian Kesihatan Singapura, mereka juga bimbang dengan keadaan kes Covid-19 di negara mereka yang agak tinggi.
“Jadi kita faham semua negara mempunyai pandangan yang sama untuk hidup dengan Covid-19 tetapi banyak benda perlu diteliti.
“Kita tidak boleh tergesa-gesa dalam melaksanakan sesuatu keputusan (buka sempadan),”katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia di Dewan Majlis Perbandaran Iskandar Puteri, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, cadangan supaya membuka laluan khas kepada pekerja rakyat Johor yang kini berada di Singapura untuk pulang mengundi perlu diteliti dengan peraturan semasa negara jiran berkenaan.
“Kalau boleh memang kita nak rakyat bebas balik mengundi kerana dari segi demokrasi setiap rakyat berhak untuk mengundi tapi mereka berada di Singapura dan terpaksa mematuhi peraturan dan undang-undang Singapura.
“Tetapi kalau pintu ditutup kerana faktor kesihatan dan Singapura ada peraturan tertentu yang menyukarkan rakyat balik, maka kena patuh kerana ini juga melibat negara mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE