fbpx

Pasangan pekak, bisu hilang punca rezeki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TOSRIN (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Zulkifli ketika melawat pasangan itu di rumah mereka di Taman Setia Indah, Johor Bahru baru-baru ini.

JOHOR BAHRU – Sepasang suami isteri yang mengalami masalah pekak dan bisu terpaksa melalui dugaan hidup yang cukup berat apabila perniagaan sate mereka terpaksa dihentikan selepas si suami di­sahkan menghidap kanser tahap empat.

Zulkifli Ainul Mokhsein, 34, berkata, perniagaan sate yang diusahakan dengan menyewa tapak berhampiran sebuah hotel di bandar ini merupakan satu-satunya sumber rezeki untuk menyara tiga anak mereka yang masih kecil.

Bagaimanapun katanya, perniagaan itu terpaksa dihentikan selepas dia disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat baru-baru ini.

“Setiap kali saya berniaga dan mengangkat barang-barang berat, pasti akan terasa sakit pada bahagian dada. Selain itu, saya juga berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Jika tidak mampu untuk berniaga, saya terpaksa mengupah pekerja dengan bayaran RM40 sehari. Saya rasa tidak mampu dan amat sukar.

“Kini, kami sekeluarga hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu sebanyak RM400 buat dirinya dan isteri,” katanya.

Tambah Zulkifli, keluarganya juga sedang dalam proses permohonan untuk mendapatkan bantuan bagi rawatan penyakit kanser yang dihidapinya.

“Saya lebih banyak menghabiskan masa di rumah kerana sudah tidak mampu melakukan kerja-kerja berat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Setia Indah di sini kelmarin.

Jelasnya, rumah yang didia­mi bersama isteri dan tiga anak mereka yang berusia antara lima bulan hingga 6 tahun itu disewa dengan bayaran RM250 sebulan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan meng­hulurkan bantuan bulanan sebanyak RM400 kepada keluarga berkenaan.

“Rasa terharu apabila dapat bertemu dengan keluarga seperti ini, kerana suami isteri ini pekak dan bisu, manakala ketiga-tiga anak mereka pula normal,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai yang berhasrat untuk membantu keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 1012-8003-1978 atas nama Zulkifli Ainul Mokhsein. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI