fbpx

151 sekolah menengah digunakan pada PRN Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Radzi ketika berucap pada Majlis Pelancaran Yayasan Didik Negara di Auditorium Kompleks E Putrajaya, hari ini. - Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan sebanyak 151 buah sekolah menengah di Johor akan digunakan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pihaknya sudah dimaklumkan perkara itu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan beberapa perkara berkaitan sedang diperincikan.

Beliau berkata, KPM sebelum ini sudah memohon kepada SPR supaya tidak menggunakan sekolah menengah bagi PRN Johor kerana bimbang akan mengganggu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPRM) 2021 namun terpaksa akur dengan kekangan dihadapi SPR sendiri.

“Kami sedar SPR ada akta tertentu untuk membolehkan mereka menggunakan premis-premis yang diperlukan ini termasuklah premis sekolah menengah.

“Bagaimanapun, kami sudah meminta SPR supaya meminimumkan penggunaan sekolah menengah ini dengan turut melibatkan juga sekolah rendah.

“Pada masa sama, kami juga sudah maklumkan kepada SPR supaya tidak menggunakan bilik-bilik utama peperiksaan SPM 2021 kerana bilik ini sudah disusun dan diatur mengikut angka giliran calon,” katanya pada sidang akhbar selepas program pelancaran Yayasan Didik Malaysia, hari ini.

Katanya, sebarang gangguan kepada susunan itu akan beri implikasi besar kepada kelancaran SPM di negeri berkenaan.

Radzi berkata, pihaknya mahu SPR melihat perkara itu dan jika boleh elak, maka elakkan daripada menggunakan bilik-bilik utama SPM 2021.

“Ini kerana peperiksaan SPM 2021 tidak macam tahun sebelum ini kerana jarak dan kedudukan meja sudah berubah daripada 0.8 meter tahun lalu kepada 1.5 meter tahun ini.

“Semalam, Ketua Pengarah Pendidikan, Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid sudah duduk berbincang dengan pengetua sekolah terbabit bagi memperincikan perkara ini,” katanya.

Pada masa sama, Radzi berkata, pihaknya juga mahu supaya guru berkaitan termasuk yang bertugas sebagai pengawas peperiksaan dan pemeriksa kertas dikecualikan sebagai petugas PRN Johor.

Menurutnya, beliau mahu guru-guru ini dikecualikan kerana buat masa ini, mereka perlu tumpukan kepada SPM 2021 sepenuhnya.

“SPM adalah komponen penting untuk ibu bapa malah calon SPM 2021 ini sudah terkesan dengan pelajaran hampir dua tahun.

“Mereka (calon SPM 2021) ini adalah kohort yang paling terkesan dengan pendekatan kurikulum baharu justeru, kami tidak mahu mereka ini terganggu dengan PRN Johor,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI