AMPANG JAYA- Polis hari ini telah mengenal pasti dua lelaki yang bertindak memukul dan menampar muka seorang pengawal keselamatan warga asing sedang bertugas di Pandan Capital di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu berlaku terhadap mangsa berusia 41 tahun yang sedang bertugas pada pukul 2.15 petang.
“Mangsa didatangi dua lelaki menaiki motosikal yang mana suspek parkir di hadapan pintu bangunan tersebut dan mangsa tidak membenarkan kenderaan itu diparkir di kawasan berkenaan.
“Kedua-dua lelaki itu berang dan memukul serta menumbuk mangsa di bahagian muka sehingga mata mangsa bengkak selain hidungnya berdarah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian tersebut berpunca daripada pertengkaran mulut antara mangsa dan kedua-dua suspek yang tidak berpuas hati.
Terdahulu, tular di media sosial sebuah klip video berdurasi 35 saat memaparkan kejadian pukul terbabit.
Jelas Mohamad Farouk, siasatan kes itu akan diteruskan selepas permohonan arahan untuk siasatan (Order to Investigation) dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE