PUTRAJAYA – Kerajaan Malaysia menyarankan Kemboja selaku Utusan Khas Pengerusi ASEAN berjumpa wakil Myanmar dalam buangan bagi merungkai krisis politik negara berkenaan.
Perkara tersebut antara dibangkitkan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah ketika menghadiri sesi Pemukiman Menteri Luar ASEAN di ibu kota Kemboja, Phnom Penh, semalam.
“Dalam konteks itu, saya menyeru Utusan Khas ini untuk bertemu wakil Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG),” kata beliau pada program disertai sembilan menteri luar serantau tersebut.
Sesi pemukiman itu dipengerusikan oleh Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, Prak Sokhon dan turut dihadiri Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Paduka Lim Jock Hooi namun tiada wakil rasmi dari Myanmar hadir termasuk Menteri Luarnya, Wunna Maung Lwin.
Mengulas lebih lanjut, Saifuddin berkata, saranan itu susulan perancangan Prak yang juga Timbalan Perdana Menteri Kemboja melawat Myanmar bulan depan bagi bertemu junta Myanmar.
Ini merupakan lawatan susulan yang kedua melibatkan pemimpin tertinggi Kemboja selepas Perdana Menterinya, Hun Sen pada awal bulan lalu namun mendapat kritikan antarabangsa.
Malaysia turut mengecam lawatan itu sebagai memberi mesej salah bahawa ASEAN dibawah Kemboja selaku Pengerusi 2022 sudah mengiktiraf junta Myanmar yang merampas kuasa. -KOSMO! ONLINE