PETALING JAYA – Seorang penghantar makanan maut selepas motosikal yang ditunggang secara melawan arus bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Tanjung, Bandar Utama di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu sekitar pukul 8.53 malam.
“Kemalangan melibatkan motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan kereta jenis Honda Accord itu dipercayai berlaku pada pukul 8.45 malam.
“Siasatan awal mendapati lelaki yang bekerja sebagai penghantar makanan itu dipercayai menunggang motosikal secara melawan arus sebelum bertembung dengan sebuah kereta.
“Mangsa yang berusia 35 tahun disahkan maut di lokasi kejadian,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian dan usaha mencari saksi tempat kejadian sedang giat dijalankan. – KOSMO! ONLINE