PETALING JAYA – Usaha seorang bapa yang sanggup meredah hutan untuk mendapatkan capaian internet bagi memudahkan urusan temu duga secara dalam talian anaknya menarik perhatian pengguna media sosial.
Menerusi perkongsian di laman Facebook, lelaki yang dikenali sebagai Sa anak Ujom, 52, difahamkan anak lelaki itu mahu menduduki dua sesi temu duga bagi kemasukan ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Bagaimanapun, kawasan yang mereka diami sukar untuk mendapatkan capaian internet sehingga memaksa dua beranak itu memanjat bukit yang terletak dua jam dari rumah mereka.
Lelaki tersebut bersama anaknya, Frank Steward anak Sa, 21 juga dikatakan perlu keluar dari rumah sekitar pukul 6 pagi bagi memanjat bukit tersebut untuk mendapatkan capaian internet.
Hantaran yang dikongsikan oleh abang Frank itu juga menunjukkan usaha gigih bapanya mendirikan khemah daripada zink dan kayu selain menyediakan tikar bemban sebagai alas supaya Frank dapat menjalani sesi temuduga dalam keadaan selasa.
Frank juga dilihat hanya menggunakan kerusi plastik berwarna biru sebagai meja dengan berlatarbelakangkan kain bercorak tradisional.
Tinjauan Kosmo! di ruang komen mendapati, rata-rata pengguna media sosial terharu dengan kegigihan bapa tersebut selain mendoakan agar Frank berjaya mendapatkan tempat di UPSI.
“En. Sa anak Ujom anda adalah contoh bapa terbaik, dan tidak semua orang berpeluang mempunyai bapa seperti anda. Semoga bahagia dan terus maju jaya! Selamat berjaya Frank!,” kata Nur Amelyn.
“Semoga dipermudahkan urusan dan harap pihak kerajaan perluaskan lagi bekalan elektrik dan perbanyakan kawasan liputan internet luar bandar,” kata Mohd. Hamdan.
“Semoga kejayaan menjadi pendidik berpihak kepada kamu. Bangga!,” kata Ramsal. – KOSMO! ONLINE