fbpx

Lokman padam hantaran fitnah KJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Lokman Noor Adam dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam telah memadam semua kenyataan dan video membabitkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung isu vaksin Covid-19 yang dimuat naik di media sosial.

Perkara itu disahkan peguam Norfazilah Jaafar yang mewakili Lokman ketika dihubungi di sini hari ini selepas prosiding secara dalam talian di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Leong Wai Hong.

Menurut peguam itu, anak guamnya telah memadam hantaran berkenaan sebagaimana yang diarahkan mahkamah, selepas Khairy memperoleh injunksi ex-parte (sebelah pihak) pada 3 Februari lalu.

“Sepatutnya hari ini ditetapkan untuk pendengaran injunksi inter-parte, namun ditangguhkan kerana pihak defendan (Lokman) memohon tempoh masa untuk memfailkan afidavit balasan dalam permohonan injunksi itu.

“Mahkamah membenarkan defendan memfailkan afidavit balasan dan pernyataan pembelaan (berhubung saman) sebelum atau pada 3 Mac selain membenarkan permohonan plaintif (Khairy) untuk melanjutkan injunksi ex-parte,” katanya.

Dalam prosiding hari ini peguam Abdul Rashid Ismail mewakili Khairy.

Khairy, 46, selaku plaintif memfailkan dua saman atas kapasiti peribadi menerusi Tetuan Rashid Zulkifli di Mahkamah Tinggi di sini pada 25 Januari lalu dengan menamakan Lokman, 49, dan Mohd. Rasyiq, 42, masing-masing sebagai defendan.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh melalui carian mahkamah, Khairy dalam pernyataan tuntutannya mendakwa Lokman telah memfitnahnya dengan membuat dua kenyataan serta memuat naik gambar di Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’ pada 6 lalu selain membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook itu dan YouTube ‘Lokman Adam’ pada 10 Januari.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau mendakwa Mohd. Rasyiq pula memfitnahnya dengan membuat kenyataan fitnah dengan menyiarkan tiga video serta satu gambar di Instagram ‘Ustaz Abu Syafiq’ pada 20 Oktober tahun lalu serta 6 dan 10 Januari lalu.

Dakwa plaintif, kenyataan fitnah dalam dua saman itu membawa maksud antaranya beliau berbohong dan menipu orang ramai dengan mendakwa dia telah diberi vaksin Covid-19 serta menerima dos ketiga serta memalsukan maklumat berkenaan status vaksinasi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI