PUTRAJAYA – Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memaklumkan 22 daripada 42 kes kematian yang dikaitkan dengan dos penggalak disahkan bukan disebabkan pelalian berkenaan.
Menjelas lanjut perkara itu, Pengarah NPRA, Dr. Roshayati Mohamad Sani berkata, siasatan terperinci yang dijalankan Jawatankuasa Farmakovigilans terhadap 22 kes kematian itu jelas tidak mempunyai kaitan dengan dos penggalak.
Menurutnya, baki 20 lagi aduan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) yang diterima pihaknya masih lagi dalam siasatan.
“Ketika ini, 22 kes sudah dinilai manakala, 20 lagi masih menunggu siasatan dan penelitian pakar.
“Kami dapati, hasil penilaian Jawatankuasa terhadap 22 kes itu tidak ada hubung kait atau causality vaksin yang menyebabkan kematian,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Justeru, katanya, beliau meminta semua pihak termasuk media membaca kenyataan diberikannya sebelum ini dan tidak dibaca sebahagian saja sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. – KOSMO! ONLINE.