GUA MUSANG – Angkara pil kuda, seorang lelaki sanggup membunuh ibu tirinya dengan cara memenggal kepala mangsa menggunakan parang dalam kejadian di Kampung Batu Machang, Jerek di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.55 petang itu, mangsa berusia 54 tahun ditemui dalam keadaan menyayat hati dengan leher terputus di dalam sebuah bilik kediaman lima beranak itu.
Kejadian malang itu diketahui polis selepas suspek berusia 39 tahun menyerah diri di Balai Polis Bertam di sini dan mengaku telah membunuh ibu tirinya dengan parang.
Susulan itu, polis menahan lelaki berkenaan dan suspek direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Bapa suspek berusia 73 tahun berkata, anak lelakinya itu selalu meminta wang antara RM10 hingga RM20 daripadanya untuk membeli pil kuda.
Luahnya, isterinya sering menasihati dirinya agar tidak memberikan lagi wang kepada suspek.
“Memang tidak tahan apabila dia (suspek) kerap minta duit.
“Kira-kira pukul 4 petang, saya ke balai polis untuk mengambil motosikal anak berusia 17 tahun yang disaman pihak polis.
“Ketika urusan hampir selesai, saya melihat anak (suspek) datang ke balai polis sama,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Menurutnya, secara tiba-tiba anggota polis itu memberitahunya, isterinya telah dibunuh dan setibanya di rumah, dia mendapati wanita itu sudah tidak bernyawa.
Katanya, dia tidak menyangka anaknya yang masih bujang dan disahkan sakit mental sejak beberapa tahun lalu sanggup membunuh ibu tirinya yang telah dikahwini hampir 20 tahun lalu.
“Saya mengaku dia sebelum ini merupakan penagih dadah dan pernah dua kali ke hospital sakit jiwa akibat pengambilan pil kuda berlebihan,” katanya.
Tambahnya, dia mengesan perubahan tingkah laku Ajis dalam tempoh tiga hari sehingga menyebabkan dia sentiasa menemani isterinya di rumah.